星洲网
星洲网
星洲网 登入
Newsletter|星洲网 Newsletter 联络我们|星洲网 联络我们 登广告|星洲网 登广告 关于我们|星洲网 关于我们 活动|星洲网 活动

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

地方

|

砂专栏/交流站

发布: 8:48am 26/08/2025

语文出版局

学习国文

语文出版局

学习国文

语文出版局星洲 合力推广学国语(28)

砂拉越分局与星洲日报携手合作推广,2023年4月起,推出名为“语文的表达是文学的根基”(Bahasa Ekspresi Sastera Tunas)栏目。

有关栏目将在每个月推出一次。联办单位也欢迎民众通过扫描QR Code发送作品。

ADVERTISEMENT

Manifestasi Penghormatan dan  Pengukuhan Mesej Patriotik

Oleh: Mohamad Faizal bin Jamil

SAJAK karya Jee Kuok An bertajuk “Pemergian Srikandi Pertiwi” ditulis sebagai penghormatan kepada tokoh wanita terkemuka, Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tuanku Haji Bujang. Beliau dikenang sebagai wanita pertama yang menjadi pemimpin negeri dan sajak ini mengenang jasa serta pengaruhnya dalam masyarakat. Sajak ini bukan sekadar luahan rasa kehilangan tetapi juga satu manifestasi penghormatan terhadap legasi seorang tokoh wanita luar biasa. Ia menyeru agar perjuangan beliau diteruskan dan jasanya dikenang sepanjang zaman.

Tema utama dalam sajak ini ialah sebuah apresiasi terhadap jasa dan kepimpinan seorang tokoh wanita yang berwibawa dan berjiwa rakyat. Manakala pemikiran utama dalam sajak ini pula ialah pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan tokoh wanita ini yang telah memainkan peranan besar dalam memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat, khususnya wanita dan golongan kurang upaya.

Sajak “Pemergian Srikandi Pertiwi” menggunakan pelbagai gaya bahasa yang memperkuatkan mesej dan emosi sajak. Antaranya ialah metafora yang dapat dilihat melalui ungkapan seperti “menjadi tangan yang mendukung impian wanita” – sokongan dan dorongan kepada perjuangan wanita; “menjadi telinga kepada yang kurang upaya” – keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan perhatian; dan “menjadi suara kepada yang tak terdaya” – keberanian memperjuangkan hak mereka yang tidak mampu bersuara. Dari segi personifikasi, penulis menggunakan ungkapan “bumi seolah-olah terhenti” – menggambarkan suasana pilu dan kehilangan yang amat dirasai dan “air mata jatuh ke pipi” – kesedihan yang mendalam.

Terdapat juga repetisi atau pengulangan dalam sajak ini. Contohnya ialah frasa “menjadi…” yang diulang untuk menunjukkan pelbagai bentuk sumbangan dan pengorbanan beliau. Manakala penggunaan simbolisme dalam sajak ini dapat dilihat melalui ungkapan “sebelum terbitnya matahari” – melambangkan pemergian sebelum sempat melihat harapan baharu atau fajar perjuangan yang belum selesai. Selain itu, nada sajak ini juga bersifat melankolik dan penuh penghormatan dengan suara puitis yang menyentuh hati pembaca. Ini dapat dilihat melalui ungkapan, “kau pergi tanpa tanda” – menunjukkan pemergian yang mengejutkan dan menyedihkan. Gaya bahasa ini menjadikan sajak lebih berkesan dan menyentuh perasaan, serta memperkukuh mesej penghargaan terhadap tokoh wanita yang telah banyak berjasa.

Kekuatan sajak ini antaranya ialah temanya yang menyentuh hati. Selain itu penulis juga menggunakan gaya bahasa yang indah dan berkesan yang dapat mengajak pembaca menjiwai sajak ini. Kekuatan yang lain ialah nada penghormatan penulis terhadap tokoh wanita ini selain daripada strukturnya yang disusun kemas dalam rangkap yang jelas dan mudah difahami.

Walau bagaimanapun, pengulangan yang agak banyak melalui penggunaan frasa seperti “menjadi…” dalam rangkap kedua boleh dianggap berlebihan jika tidak diimbangi dengan variasi gaya. Selain itu, sajak ini kurang mengetengahkan elemen kejutan atau kelainan dan agak konvensional dalam menggambarkan pemergian dan penghargaan tokoh. Kurangnya latar atau gambaran peribadi tokoh juga boleh dikatakan sebagai kelemahan sajak ini. Sajak ini boleh diperkemas dengan lebih banyak variasi gaya dan gambaran peribadi untuk menjadikannya lebih berkesan secara artistik.

Sajak “Jubli Gemilang” karya Kong Yi Yan pula merupakan sajak yang menyemarakkan semangat kebangsaan dan mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersatu, berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar. Ia bukan sekadar refleksi sejarah, tetapi juga seruan untuk masa depan yang lebih gemilang.

Tema utama dalam sajak ini ialah semangat patriotisme dan perjuangan berterusan rakyat Malaysia dalam membina negara yang cemerlang dan dihormati di persada dunia.

Pemikiran utama dalam sajak ini pula ialah bahawa kejayaan sesebuah negara lahir daripada perpaduan rakyat, kepimpinan yang berwawasan, semangat juang generasi muda dan usaha berterusan tanpa mengenal penat lelah. Sajak ini menyampaikan pemikiran bahawa kemajuan negara ialah hasil gabungan semangat, usaha dan perpaduan rakyat serta kepimpinan yang berani dan berwawasan.

Dalam sajak ini, penulis telah menggunakan beberapa gaya bahasa seperti  metafora melalui frasa-frasa seperti “menunggang kuda harapan” – melambangkan usaha dan cita-cita tinggi dalam mengejar impian negara; “mengejar kilat kemajuan” – menggambarkan keinginan untuk mencapai kemajuan dengan pantas; dan “darah membakar semangat” – menunjukkan semangat juang yang membara dalam diri rakyat. Terdapat juga penggunaan personifikasi melalui frasa “peluhnya hangat membawa cahaya kemenangan” – peluh digambarkan seolah-olah menghasilkan kejayaan, menekankan nilai kerja keras dan “kedamaian berkumandang” – kedamaian digambarkan seperti suara yang bergema, menandakan suasana aman yang menyeluruh.

Penulis juga dilihat menggunakan pengulangan untuk memperkukuh mesejnya melalui frasa “tanpa penyesalan dan terus maju” yang menunjukkan ketabahan dan semangat tidak berputus asa. Selain itu, simbolisme juga boleh dilihat melalui ungkapan seperti “pagi subuh” – melambangkan permulaan baharu dan harapan, dan “ribuan ombak” – simbol cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh rakyat dan negara. Manakala penulis juga telah menggunakan imejan untuk membangkitkan gambaran visual dan emosi melalui frasa “anak-anak berlari, ketawa di taman permainan” yang mencipta suasana aman dan bahagia, dan “langkah pemimpin bangsa sepantas angin”, untuk membangkitkan gambaran kepimpinan yang tangkas dan bersemangat.

Tema patriotik sajak ini kuat dan menyentuh semangat kebangsaan, perjuangan dan harapan masa depan dengan jelas dan berkesan. Gaya bahasa yang kreatif dan puitis digunakan oleh penulis juga merupakan satu kelebihan dengan nada yang optimistik dan membangkitkan semangat. Sajak ini juga mempunyai struktur yang tersusun dan progresif dari suasana damai, kepada perjuangan, dan akhirnya kepada pencapaian dan harapan masa depan.

Meskipun begitu, sajak ini kurang elemen peribadi atau sejarah konkrit untuk mengukuhkan mesejnya, di samping kurangnya variasi emosi yang boleh menambah perisa sesebuah sajak. Bahasa yang terlalu umum dalam sesetengah rangkap juga boleh menyebankan ia kelihatan agak klise. Sajak ini akan lebih baik jika diperkukuh dengan elemen sejarah, gambaran yang lebih konkrit dan keseimbangan emosi untuk menjadikannya lebih menyeluruh dan berkesan.

打开全文

ADVERTISEMENT

热门新闻

百格视频

ADVERTISEMENT

点击 可阅读下一则新闻

ADVERTISEMENT