语文出版局星洲 合力推广学国语(26)



语文出版局砂拉越分局与星洲日报携手合作推广学习国文,2023年4月起,推出名为“语文的表达是文学的根基”(Bahasa Ekspresi Sastera Tunas)栏目。
ADVERTISEMENT
有关栏目将在每个月推出一次。联办单位也欢迎民众通过扫描QR Code发送作品。

NUANSA EMOSI DAN SANJUNGAN INSAN MULIA DALAM SAJAK
Oleh: Mohamad Faizal bin Jamil
SAJAK “Cinta Persekolahan” karya Romania menggambarkan keindahan dan kemurnian perasaan cinta yang hadir sewaktu zaman persekolahan. Sajak ini bukan sekadar tentang cinta, tetapi juga tentang menghargai momen-momen kecil yang memberi makna besar dalam kehidupan. Sajak ini bernada romantis dan melankolik, dengan unsur kenangan indah yang dihayati penuh perasaan.

Tema utama sajak ini ialah cinta remaja yang tumbuh dalam suasana persekolahan, iaitu suatu cinta yang polos, penuh rasa kagum dan bermakna dalam kenangan hidup seseorang. Cinta yang digambarkan dalam sajak ini bukan sekadar perasaan tetapi juga pengalaman emosional yang menyentuh jiwa dan menghidupkan hari-hari persekolahan dengan keindahan dan makna.
Pemikiran yang dapat diselami daripada sajak ini ialah bahawa cinta yang hadir dalam suasana persekolahan mampu meninggalkan kesan yang mendalam meskipun bersifat sementara.
Sajak “Cinta Persekolahan” menggunakan pelbagai gaya bahasa untuk menyampaikan perasaan cinta dengan berkesan dan indah. Antaranya ialah imejan melalui frasa “matanya yang tenang dipandang” dan “suaranya yang merdu ingin kudengar”. Penyajak mencipta gambaran audiovisual yang menghidupkan suasana cinta dalam imaginasi pembaca. Seterusnya ialah simile atau perbandingan melalui frasa “seperti lagu yang dinyanyikan dengan merdu” yang digunakan untuk menyamakan suara insan yang dicintainya dengan keindahan lagu, menunjukkan rasa kagum dan kasih.
Penyajak juga dilihat menggunakan gaya bahasa repetisi melalui pengulangan frasa seperti “yang merdu” dan “yang tenang” untuk menghidupkan emosi dan keindahan watak yang dikagumi. Sajak ini penuh penghargaan untuk memperlihatkan rasa kasih yang mendalam penyajak. Penegasan perasaan sementara dan kenangan kekal seperti “mungkin perasaan ini hanya untuk sementara” dan “akan kukenang hingga akhir hayatku” menunjukkan konflik antara masa dengan perasaan, serta kesungguhan penyajak dalam menghargai kenangan cinta. Gaya bahasa yang digunakan menjadikan sajak ini penuh dengan nuansa emosi dan nostalgia.
Kekuatan sajak “Cinta Persekolahan” adalah pada penggunaan imejannya yang kuat. Nada sentimental cukup terserlah dan mempunyai aliran emosi yang jelas selain berjaya menggambarkan cinta sebagai sesuatu yang indah walaupun sementara. Kekuatan lain sajak ini iaitu bahasanya mudah tetapi berkesan dan mendalam kepada pembaca sesuai dengan tema cinta remaja. Malah kesucian dan kepolosan cinta digambarkan dengan baik, pengalaman yang tulen, tidak tercemar dan memberi makna dalam kehidupan.
Namun, pengulangan yang sedikit berlebihan seperti “merdu” dan “indah” boleh mengurangkan kekuatan ekspresi jika tidak disusun secara lebih variasi. Kurangnya konflik atau perkembangan emosi seolah-olah sajak ini mengekalkan nada yang sama dari awal hingga akhir tanpa menunjukkan perubahan emosi yang mendalam atau pemikiran yang berkembang. Struktur puitis sajak ini juga dilihat agak longgar. Ada bahagian yang terasa seperti prosa biasa dan kurang elemen keindahan struktur sajak dari segi irama atau pola yang kuat. Namun begitu, kekuatan sajak ini tetap menyerlah kerana emosi yang disampaikan terasa tulus dan dekat di hati pembaca.

Sajak “Ibu Bapa” karya Hii Yui Tiing pula menyanjung tinggi pengorbanan dan peranan ibu bapa dalam kehidupan anak-anak. Ia penuh dengan elemen kasih sayang, kesabaran dan nilai kemanusiaan yang menyentuh hati. Sajak ini bukan sahaja merakam rasa cinta terhadap ibu bapa, malah mengajak pembaca untuk lebih menghargai mereka sebagai insan yang turut belajar dan hidup bersama anak-anak.
Tema utama sajak ini ialah pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa yang tidak berbelah bahagi terhadap anak-anak mereka. Penyajak menekankan peranan penting ibu bapa sebagai pelindung, penyokong dan sumber kekuatan dalam kehidupan anak-anak. Pemikiran sajak ini mengajak kita untuk memandang ibu bapa bukan hanya sebagai penjaga tetapi sebagai insan yang berjuang setiap hari dengan kasih yang mendalam. Meskipun ibu bapa tidak sempurna, kasih sayang, kesabaran dan usaha mereka untuk membesarkan anak-anak dengan penuh harapan adalah sesuatu yang amat berharga dan wajar dihargai.
Sajak ini menggunakan pelbagai gaya bahasa untuk memperkuatkan penyampaian mesej dan emosi tentang kasih serta pengorbanan ibu bapa. Antaranya ialah metafora melalui frasa “ibu bapa, tonggak setiap keluarga” untuk menggambarkan ibu bapa sebagai asas kekuatan dan kestabilan sesebuah keluarga; “membawa makna dan cahaya“, melambangkan harapan, kebahagiaan dan panduan hidup yang diberikan oleh ibu bapa. Dari segi imejan pula dapat dilihat visual dan emosi seperti “peluh dan harapan”, “dilanda gelisah” dan “dibebani ujian dan derita” membangkitkan gambaran realistik tentang perjuangan hidup ibu bapa.
Terdapat juga gaya bahasa repetisi atau pengulangan dalam sajak ini seperti “ibu bapa” digunakan pada permulaan dan akhir sajak sebagai penegasan tentang keutamaan watak ini dalam kehidupan anak-anak. Selain itu, personifikasi melalui frasa “menghadiahi kita kehidupan” memberi nyawa kepada peranan ibu bapa sebagai pemberi kehidupan secara simbolik dan mendalam. Manakala dari sudut kontras dan paradoks pula dapat dilihat melalui ungkapan “mereka tidak sempurna, namun penuh pengorbanan” memperlihatkan konflik antara kelemahan manusia dengan kekuatan cinta tanpa syarat.
Kekuatan sajak “Ibu Bapa” dilihat dari temanya yang universal, iaitu topik yang mudah dirasai oleh semua lapisan pembaca. Gaya bahasanya juga agak puitis dan menyentuh perasaan dengan penggunaan metafora. Malah nada penghargaannya yang kuat disampaikan dengan rasa syukur dan empati terhadap usaha ibu bapa dengan cara yang jujur dan ikhlas. Yang paling penting ialah penyajak berjaya memberi kesedaran tentang kemanusiaan ibu bapa.
Namun, pengulangan makna tanpa variasi gaya yang berbeza, sedikit sebanyak mengurangkan dinamika sajak ini. Kurangnya kejutan dalam struktur dan nada menyebabkan sajak agak seragam dari awal hingga akhir. Manakala ada bahagian struktur baris yang tidak konsisten atau tersusun juga dilihat seolah-olah sebuah prosa yang panjang. Kelemahan yang ketara ialah tajuk sajak ini begitu klise. Walaupun ada kelemahan kecil, kekuatan sajak ini tetap menyerlah melalui kejujuran suara penyajak dan mesej yang menyentuh jiwa.
ADVERTISEMENT
热门新闻
百格视频
ADVERTISEMENT
