星洲网
星洲网
星洲网 登入
Newsletter|星洲网 Newsletter 联络我们|星洲网 联络我们 登广告|星洲网 登广告 关于我们|星洲网 关于我们 活动|星洲网 活动

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

地方

|

砂专栏/交流站

发布: 9:00am 20/05/2025

语文出版局

语文出版局

语文出版局星洲 合力推广学国语(25)

砂拉越分局与星洲日报携手合作推广学习国文,2023年4月起,推出名为“语文的表达是文学的根基”(Bahasa Ekspresi Sastera Tunas)栏目。

有关栏目将在每个月推出一次。联办单位也欢迎民众通过扫描QR Code发送作品。

ADVERTISEMENT

SERUAN, HARAPAN DAN PENCARIAN DIRI

Oleh: Mohamad Faizal bin Jamil

SAJAK “Dunia Kelabu” karya Anselm Lau Shao Peng mengetengahkan isu pencemaran alam dan kerosakan ekologi akibat perbuatan manusia. Setiap bait menyampaikan gambaran alam yang semakin kehilangan keindahannya – hutan meratap, sungai menjadi tempat pembuangan dan langit yang dulunya cerah kini suram akibat pencemaran. Sebuah sajak yang penuh emosi dan menyampaikan mesej yang penting tentang pemuliharaan alam.

Tema utama dalam sajak ini ialah pencemaran alam sekitar serta keperluan untuk sedar dan bertindak dalam menjaga kelestarian bumi. Manakala pemikiran dalam sajak ini berpusat pada kesedaran terhadap kemusnahan alam akibat perbuatan manusia serta pentingnya bertindak sebelum segalanya hilang tanpa harapan.

Sajak “Dunia Kelabu” menggunakan pelbagai gaya bahasa yang memperkuat mesejnya. Antaranya ialah personifikasi melalui unsur alam seperti angin, sungai dan mentari. Contohnya, “Dengarlah tangisan angin di hutan” dan “Mentari terpaksa sembunyi dalam bayang” menggambarkan perasaan sedih alam akibat kemusnahan. Penggunaan metafora memperkaya makna sajak ini, seperti “Harga masa depan umpama emas” yang menunjukkan betapa berharganya masa depan, serta “Ibarat kain yang belum ditenun” yang melambangkan peluang untuk membentuk masa depan sebelum terlambat.

Selain itu terdapat juga simile atau perumpamaan seperti “Sungai yang dulu berkilau indah, dijadikan tong sampah besar” yang menunjukkan betapa teruknya pencemaran sehingga sungai tidak lagi berfungsi sebagai sumber kehidupan. Dari sudut imejan pula, penyajak menggunakan citraan alam dan visual yang jelas seperti “Daun-daun luruh ke atas tanah” dan “Rumah yang dulu ditari ikan, kini terhimpit bau busuk”. Sajak ini bernada melankolik dan reflektif terutamanya dengan penggunaan kata-kata seperti “warna hijau semakin terpadam” dan “sarang beburung juga roboh” yang melambangkan kehancuran ekosistem. Di penghujung sajak, terdapat seruan dan harapan penyajak dengan frasa “Marilah kita sulam masa depan”, mengajak pembaca untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik.

Sajak “Dunia Kelabu” memiliki kekuatan yang jelas dalam menyampaikan mesej tentang pencemaran alam, namun juga mungkin mempunyai ruang untuk diperbaiki. Antara kekuatan sajak ini ialah gaya bahasanya yang indah dan bermakna. Mesej yang disampaikan kuat dan berkesan sekali gus menyeru pembaca untuk bertindak demi masa depan. Selain itu nada melankolik yang menyentuh perasaan juga salah satu daripada kekuatan sajak ini. Dari segi strukturnya juga cukup teratur dan padu. Tema yang diketengahkan oleh penyajak boleh dikatakan relevan dengan isu semasa.

Namun begitu, mungkin keseimbangan antara kesedihan serta harapan boleh lebih diperkuat untuk memberi semangat kepada pembaca. Penyajak juga dilihat terlalu bergantung dengan metafora yang konvensional sifatnya dan sudah biasa digunakan. Walaupun susunan baitnya kemas, variasi dalam ritma dan susunan kata boleh menjadikan sajak lebih dinamik dan berkesan.

Sajak “Monolog Tanda Tanya” karya Nurul Asyikin binti Abdullah pula memaparkan perasaan yang dalam tentang ketidakpastian hidup, menjadikannya karya yang penuh makna dan menyentuh jiwa. Tema utama dalam sajak berkisar pada pencarian diri dan pasrah terhadap takdir.

Sajak ini memaparkan konflik dalaman seseorang dalam menghadapi ketidaktentuan hidup. Ia mengajak pembaca merenung tentang impian, pilihan dan peranan takdir dalam menentukan arah kehidupan mereka. Pemikiran dalam sajak ini berpusat pada renungan tentang nasib, serta perasaan kehilangan dan harapan yang samar-samar.

Sajak “Monolog Tanda Tanya” menggunakan pelbagai gaya bahasa yang memperkuat temanya pencarian diri dan ketidakpastian hidup. Antaranya ialah metafora layang-layang putus tali yang melambangkan impian dan harapan yang telah terlepas daripada kawalan, sementara angin mewakili kekuatan luar yang menentukan arah kehidupan seseorang.

Penyajak menggunakan personifikasi yang menggambarkan angin sebagai entiti yang membawa keinginan pergi, seolah-olah ia berkuasa atas nasib seseorang. Terdapat juga simile melalui perbandingan yang dibuat seperti “tersangkut di dahan jati, terkoyak” memberikan gambaran visual tentang impian yang tergantung boleh hancur akibat halangan yang tidak diduga.

Citraan atau imejan sajak ini mampu membangkitkan emosi seperti “tersadai di pelabuhan sepi” yang menggambarkan perasaan kesepian dan kehilangan. Penyajak juga menggunakan pertanyaan retorik seperti “adakah terbangnya semakin tinggi?” dan “akankah semakin jauh?” mencerminkan kebimbangan dan ketidakpastian hidup. Repetisi atau pengulangan melalui pertanyaan berturut-turut telah mencipta irama yang memberi kesan mendalam kepada pembaca dan menguatkan perasaan ragu serta pencarian jawapan.

Sajak ini juga bernada reflektif dan melankolik, menjadikannya penuh emosi dan kesan mendalam. Soalan retorik yang dikemukakan dalam sajak ini mencetuskan refleksi kepada pembaca, mengajak mereka memikirkan tentang perjalanan hidup dan nasib. Kekuatan lain iaitu kesederhanaan penyajak dalam penyampaian tetapi penuh makna di samping visualisasi yang kuat membentuk imej yang jelas tentang ketidakpastian hidup.

Walau bagaimanapun, sajak ini masih boleh diperkaya dengan lebih banyak imej yang berbeza untuk mendalamkan maknanya. Sajak ini juga dilihat tiada resolusi yang kukuh untuk memberikan sedikit harapan atau kesimpulan yang lebih jelas di penghujung sajak. Struktur soalan dan pertanyaan berturut-turut juga mungkin boleh lebih dipelbagaikan bagi menjadikan sajak lebih dinamik. Akhir sekali sajak ini banyak bertanya tanpa memberi jawapan, yang mungkin menjadikan pembaca terasa terlalu terperangkap dalam ketidakpastian tanpa satu titik refleksi yang lebih terang. Dengan sedikit keseimbangan antara ketidakpastian dan harapan serta memperkaya penggunaan simbolisme, ia boleh menjadi sajak yang lebih berdaya impak dan terus menyentuh jiwa pembaca.

打开全文

ADVERTISEMENT

热门新闻

百格视频

ADVERTISEMENT

点击 可阅读下一则新闻

ADVERTISEMENT