语文出版局砂拉越分局与星洲日报携手合作推广学习国文,2023年4月起,推出名为“语文的表达是文学的根基”(Bahasa Ekspresi Sastera Tunas)栏目。
ADVERTISEMENT
有关栏目将在每个月推出一次。联办单位也欢迎民众通过扫描QR Code发送作品。
DILEMA KONFLIK INDENTITI DAN NILAI KESETIAAN DALAM SAJAK
Oleh: Mohamad Faizal bin Jamil
SAJAK “Balada Si Cina Banana” karya Sim Siaw Phing menggambarkan dilema identiti dan perjuangan individu berketurunan Cina menghadapi cabaran untuk menguasai bahasa ibundanya. Sajak ini menyampaikan emosi serta realiti kompleks yang dapat menyentuh hati pembaca dalam konteks masyarakat pelbagai budaya.
Tema utama sajak ini ialah konflik identiti budaya dan bahasa. Tema ini menyoroti peranan penting bahasa dalam pembentukan identiti seseorang dan perasaan keterasingan yang timbul apabila seseorang tidak dapat menguasai bahasa ibundanya sendiri. Melalui sajak ini, terserlah realiti masyarakat pelbagai budaya yang menghadapi cabaran untuk menyeimbangkan warisan tradisional dengan kehidupan kontemporari.
Manakala pemikiran utama yang terdapat dalam sajak ini ialah konflik identiti yang tidak sekadar bersifat linguistik tetapi turut berkait dengan penerimaan sosial dan diri sendiri. Individu dalam sajak ini merasakan tekanan untuk menguasai bahasa Cina demi membuktikan “keaslian” identitinya tetapi mendapati usaha itu sukar.
Penggunaan metafora “Cina Banana” menggambarkan identiti individu dengan simbol “pisang”, iaitu luar kuning tetapi dalam putih. Simbol ini memberikan makna yang mendalam tentang konflik budaya dan linguistik. Frasa seperti “usia senja melambai di ufuk barat” pula mempersonifikasikan waktu untuk memberikan kesan puitis dan emosi kepada pembaca. Manakala nada sajak ini menggambarkan rasa kecewa, kesukaran dan renungan terhadap usaha memahami identiti budaya melalui bahasa.
Sajak ini menggunakan bahasa yang santai dan berhubung dengan pembaca seperti “Dengan bergurukan Youtube dan pengalaman” untuk menunjukkan realiti kehidupan. Manakala elemen kontras iaitu pertembungan antara bahasa yang telah “ditakluki” dan bahasa ibunda yang masih “asing” menonjolkan perasaan terasing serta konflik dalaman. Selain itu, terdapat juga elemen repetisi seperti frasa “Tetap miskin, tetap papa kosa kata”. Dari segi imejan pula, gambaran visual seperti “diri ini mula merangkak, bertatih dan berlari” menggambarkan proses yang lambat dan mencabar dalam usaha belajar. Elemen ironi yang memaparkan kesan ketidakseimbangan dalam identiti budaya juga ditonjolkan melalui frasa “Bahasa asing itu senandungku, Bahasa Cina itu asing bagiku”.
Sajak “Balada Si Cina Banana” mempunyai kekuatan dan kelemahannya tersendiri. Kekuatan sajak ini adalah penggunaan metafora yang kuat, nada melankoliknya yang bersifat reflektif menjadikan karya ini sangat emosional dan mudah diterima. Selain itu, keaslian tema sajak ini sangat jarang diterokai dengan cara yang begitu puitis, menjadikan karya ini unik. Pendek kata, sajak ini berjaya menggambarkan realiti sosial masyarakat pelbagai budaya, memaparkan tekanan sosial dan perjuangan identiti dengan tepat.
Kelemahan sajak ini pula iaitu repetisi atau pengulangan frasa yang agak berlebihan seperti ungkapan “tetap miskin, tetap papa kosa kata” tanpa memberikan variasi tambahan pada struktur sajak. Walaupun konflik identiti diperkenalkan dengan baik tetapi tiada penyelesaian atau refleksi mendalam yang menutup isu tersebut. Walaupun tema sajak ini kuat, namun ia boleh diperluaskan lagi dengan memberikan dimensi tambahan kepada perjuangan bahasa dan identiti.
Sajak “Kesetiaan yang Lenyap Tanpa Jejak” karya Soh Wei Wen pula menggambarkan kesetiaan sebagai nilai yang sukar dijaga, terutama apabila manusia tergoda oleh hasrat dan keinginan duniawi. Ia memberi peringatan bahawa kesetiaan hanya dapat benar-benar dimiliki oleh hati yang beriman dan teguh.
Tema utama sajak ini ialah kegagalan dalam memelihara kesetiaan akibat godaan duniawi. Sajak ini menekankan bahawa kesetiaan ialah nilai yang suci dan hanya dapat dipelihara oleh hati yang teguh beriman. Ia menggambarkan tentang kesetiaan boleh tergelincir apabila seseorang tunduk kepada nafsu dan hasrat yang melampaui batas. Manakala pemikiran utama dalam sajak ini ialah kesetiaan yang tidak disertai iman mudah goyah oleh godaan dan hawa nafsu. Ia juga memperingatkan bahawa kesetiaan yang melampaui batas atau yang buta kepada kebenaran boleh membawa kepada kehancuran.
Sajak “Kesetiaan yang Lenyap Tanpa Jejak” menonjolkan beberapa gaya bahasa antaranya ialah penggunaan metafora seperti “lorong gelap” dan “penjara kegelapan”, memberikan gambaran mendalam tentang akibat daripada kesetiaan yang melampaui batas atau disalahgunakan. Personifikasi dapat dilihat melalui frasa “menjadi mainan” yang menunjukkan nilai kesetiaan boleh dipermainkan dan dikhianati. Selain itu, sajak ini mempunyai nada peringatan dan melankolik yang membawa peringatan tentang bahaya kesetiaan yang hilang akibat godaan duniawi. Manakala ungkapan seperti “tergelincir dalam permainan hasrat” memberikan nilai puitis yang kuat sambil menyampaikan mesej yang mendalam tentang kelemahan manusia terhadap godaan.
Terdapat elemen kontras dalam sajak ini, iaitu antara kesetiaan yang hanya ada pada hati beriman dengan kesetiaan yang tergelincir ke dalam “fantasi belaka”. Daripada gambaran visual pula, ungkapan “mengikat jiwa dengan penjara kegelapan” memberi kesan dramatik dan membangkitkan emosi yang mendalam pada pembaca. Repetisi atau pengulangan dapat dilihat melalui kata “kesetiaan” untuk menekankan kepentingannya sebagai tema utama.
Kekuatan sajak ini ialah temanya yang mendalam dan bermakna, mengaitkan aspek moral dan spiritual. Penggunaan bahasa yang puitis mampu mencipta kesan yang menyentuh emosi pembaca. Nada peringatan dalam sajak ini juga berkesan dalam memberi kesedaran tentang akibat buruk jika kesetiaan dilupakan atau disalahgunakan. Selain itu, visual yang kuat juga berjaya membawa pembaca membayangkan situasi kehancuran akibat kehilangan kesetiaan. Sajak ini turut mempunyai mesej moral yang tegas dan kuat.
Walau bagaimanapun, Sesetengah bahagian dalam sajak ini menggunakan bahasa yang agak kompleks yang mungkin sukar difahami oleh pembaca umum. Kelemahan lain iaitu pengakhiran yang kurang menyelesaikan. Ini mungkin meninggalkan pembaca dengan persoalan atau rasa yang tidak tuntas.
Kesimpulannya, sajak “Balada Si Cina Banana” dan “Kesetiaan yang Lenyap Tanpa Jejak” merupakan karya yang penuh makna dengan kekuatan pada tema, gaya bahasa, dan mesej moral yang mendalam. Walau bagaimanapun, ia boleh diperbaiki dengan menambahkan elemen naratif atau penutup yang lebih optimistik untuk memberikan keseimbangan emosi kepada pembaca.
ADVERTISEMENT
热门新闻





百格视频





ADVERTISEMENT