星洲网
星洲网
星洲网 登入
Newsletter|星洲网 Newsletter 联络我们|星洲网 联络我们 登广告|星洲网 登广告 关于我们|星洲网 关于我们 活动|星洲网 活动

ADVERTISEMENT

ADVERTISEMENT

地方

|

砂专栏/交流站

|
发布: 8:30am 21/01/2025

语文出版局

语文出版局

语文出版局星洲 合力推广学国语(21)

砂拉越分局与星洲日报携手合作推广学习国文,2023年4月起,推出名为“语文的表达是文学的根基”(Bahasa Ekspresi Sastera Tunas)栏目。

ADVERTISEMENT

有关栏目将在每个月推出一次。联办单位也欢迎民众通过扫描QR Code发送作品。

Simbolisme dan Katarsis Emosi dalam Sajak

Oleh: Mohamad Faizal bin Jamil

SAJAK “Kenyalang” karya Kong Ning menyentuh hati dan penuh makna, menggambarkan keindahan dan simbolisme kenyalang sebagai lambang kebanggaan Sarawak. Penulis cuba membawa isu-isu penting seperti kemusnahan habitat dan ancaman terhadap populasi kenyalang akibat tindakan manusia.

Sajak ini mengandungi beberapa tema utama yang menggambarkan perasaan kasih sayang, kesedaran dan harapan terhadap alam semula jadi serta warisan budaya. Melalui tema-tema ini, penulis menyampaikan mesej yang mendalam tentang pentingnya melindungi dan memelihara alam semula jadi.

Sajak ini mengandungi pelbagai pemikiran yang mencerminkan kepedulian terhadap alam semula jadi, warisan budaya dan perubahan sikap manusia terhadap alam sekitar. Ia juga mengingatkan kita tentang kesan tindakan kita terhadap alam sekitar dan pentingnya mengambil langkah-langkah untuk memastikan kelangsungan kehidupan flora dan fauna di bumi ini.

Sajak “Kenyalang” menyajikan gaya bahasa yang menyumbang kepada keindahan dan kekuatan puitisnya. Antaranya ialah anafora, iaitu pengulangan kata atau frasa “Oh Kenyalang” pada permulaan baris yang berturut-turut memberikan irama dan menekankan sifat-sifat kenyalang. Sajak ini juga menggunakan metafora untuk menyampaikan makna yang lebih mendalam seperti ungkapan “kau lambang kebanggaan Sarawak” yang menggambarkan kenyalang sebagai simbol kebanggaan bagi rakyat Sarawak.

Manakala pertanyaan retorik seperti “Kenapa kau tak lagi terbang di langit?” dan “Kenapa rumahmu hilang tanpa jejak?” digunakan penulis untuk menimbulkan kesan dan membuat pembaca merenung keadaan kenyalang. Selain itu, personifikasi, iaitu pemberian sifat manusia kepada kenyalang, contohnya, “kenapa kau tak lagi membuka mata?”, turut menambah elemen emosi dan membuat pembaca lebih bersimpati. Penulis juga menggunakan imejan atau penggambaran yang digunakan untuk mencipta gambaran visual yang kuat, seperti “sayapmu berkilauan” dan “Bersama suara alam yang merdu”, membantu pembaca membayangkan keindahan kenyalang dan alam sekitarnya.

Gaya bahasa yang lain seperti kontras yang merujuk kepada keadaan kenyalang yang dahulu dan sekarang melalui ungkapan “bulumu lembut” dengan “Kenapa rumahmu hilang tanpa jejak?”, juga menambahkan lagi drama dan kepiluan dalam sajak. Akhir sekali, penulis dilihat bermain dengan nada. Nada sajak ini bersifat melankolik namun optimis.

Antara kekuatan sajak ini adalah penggunaan bahasanya yang lembut dan puitis dalam menggambarkan keindahan kenyalang dan mencipta gambaran visual yang kuat seperti “Oh kenyalang, bulumu lembut” dan “sayapmu berkilauan”. Sudah tentu temanya juga merupakan kekuatan selain strukturnya yang jelas dan tersusun. Kekuatannya yang lain ialah pertanyaan retorik yang mampu menimbulkan kesedaran dan refleksi dalam diri pembaca seperti “Kenapa senapang menunjuk padamu?”.

Walau bagaimanapun, pengulangan yang berlebihan pada frasa “Oh kenyalang” terkesan mengurangkan kesegaran sajak. Gaya bahasa yang digunakan seragam dan boleh dipelbagaikan lagi untuk menambah dinamik sajak. Pada sajak ini juga dikesan kurangnya kedalaman dalam penghuraian masalah serta ekspresi emosi penulis yang terhad. Dengan sedikit penambahbaikan dalam variasi gaya bahasa dan penghuraian masalah, sajak ini berpotensi menjadi lebih mendalam dan menyentuh hati pembaca.

Sajak “Dia” karya Soh Wei Wen pula menyampaikan perasaan dan kekaguman terhadap seseorang yang istimewa melalui perumpamaan alam semula jadi. Penulis menggunakan gambaran awan gelap, pelangi, ribut taufan dan embun pagi untuk melukiskan peribadi dan kata-kata yang menenangkan daripada individu tersebut.

Sajak ini menekankan tema kekuatan yang terdapat dalam kelembutan. Watak dalam sajak ini digambarkan sebagai memiliki sifat yang lembut tetapi berkuasa dalam memberikan ketenangan dan rawatan emosi yang menunjukkan selepas melalui kesulitan pasti akan datang katarsis dan keindahan. Dari segi pemikiran, penulis mengajak pembaca untuk merenung tentang pentingnya kasih sayang, kelembutan dan pengaruh positif dalam kehidupan. Ia mengingatkan kita bahawa dalam setiap kesulitan, ada keindahan dan ketenangan yang boleh kita temui melalui kehadiran orang yang kita kasihi.

Sajak “Dia” menggunakan beberapa gaya bahasa yang menarik seperti metafora “awan gelap meliputi buana” yang menggambarkan perasaan sedih dan “leganya melahirkan sang pelangi” yang menggambarkan kelegaan selepas kesedihan. Simile juga digunakan untuk membuat perbandingan langsung seperti “bagai diriku yang rapuh” dan “bagai lembutnya peribadinya” yang membandingkan sifat manusia dengan unsur alam. Selain itu penulis juga dilihat menggunakan personifikasi seperti “embun pagi di hujung rumput jatuh perlahan tanpa mengganggu” yang menambahkan elemen puitis dan hidup dalam sajak. Penggambaran atau imejan yang kuat dan jelas seperti “embun pagi di hujung rumput” dan “ribut taufan menyapa pepohon” turut membantu pembaca membayangkan suasana dan emosi yang ingin disampaikan oleh penulis.

Pengulangan kata pada awal baris seperti “Suatu hari,” memberikan irama dan penekanan pada peristiwa atau keadaan yang diceritakan. Selain itu, sajak ini bernada lembut dan penuh dengan perenungan, menambahkan lagi dimensi emosi yang mendalam kepada pembaca. Akhir sekali, penulis menggunakan kontras atau perbandingan seperti “awan gelap” dan “sang pelangi” serta “ribut taufan” dan “lembutnya peribadinya” bagi menonjolkan betapa berpengaruhnya sifat lembut individu itu.

Sajak “Dia” menggunakan metafora alam yang membantu menyampaikan emosi dan perasaan dengan cara yang mudah difahami dan dihayati oleh pembaca. Variasi gaya bahasa, kesederhanaan dan kelembutan yang digunakan membuat sajak ini begitu menarik untuk ditekuni. Sajak ini juga berjaya menyampaikan emosi yang mendalam dan terpendam dengan cara yang halus dan tersirat, menjadikannya lebih menyentuh hati dan mudah dihayati oleh pembaca.

Meskipun begitu,  kedalaman cerita yang diramu dalam sajak ini masih boleh dimurnikan. Nada yang sangat tenang dan lembut sepanjang sajak mungkin membuatkan ia kelihatan kurang dinamik. Selain itu, kebergantungan pada metafora mungkin membuat sajak kelihatan kurang segar atau berulang.

Secara keseluruhan, sajak “Dia” ialah karya yang indah dan menyentuh hati, menggunakan bahasa puitis dan metafora alam untuk menyampaikan perasaan kasih sayang dan penghargaan. Dengan sedikit teguran ini, mudah-mudahan kedua-dua penulis masih mahu belajar untuk menambah kemahiran agar ada peningkatan yang lebih baik dalam karya-karya yang akan datang. Tahniah!

打开全文

ADVERTISEMENT

热门新闻

百格视频

ADVERTISEMENT

点击 可阅读下一则新闻

ADVERTISEMENT