语文出版局砂拉越分局与星洲日报携手合作推广学习国文,2023年4月起,推出名为“语文的表达是文学的根基”(Bahasa Ekspresi Sastera Tunas)栏目。
ADVERTISEMENT
有关栏目将在每个月推出一次。联办单位也欢迎民众通过扫描QR Code发送作品。
Keseimbangan Kehidupan dan Peleraian Emosi dalam Sajak
Oleh: Mohamad Faizal bin Jamil
Sajak “Hitam dan Putih” karya Jee Kuok An menggambarkan dua warna yang saling melengkapi dan menjadi simbol keselarasan serta keseimbangan dalam kehidupan. Setiap langkah diperhatikan, setiap kesalahan diperbaiki, menunjukkan pentingnya refleksi diri dan strategi dalam mencapai tujuan. Sajak ini menekankan usaha dan pengorbanan sebagai kunci untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.
Tema utama dalam sajak ini ialah keselarasan, keseimbangan, refleksi diri, usaha dan pengorbanan dalam mencapai kejayaan. Sajak ini menekankan betapa pentingnya mengamati dan memperbaiki kesalahan, serta mengenali dan membina kekuatan diri. Melalui ketabahan, perancangan yang teliti dan pengorbanan, kejayaan yang diimpikan pasti akan tercapai.
Sajak “Hitam dan Putih” memberikan panduan untuk menghadapi hidup dengan keseimbangan, kesedaran diri dan usaha yang berterusan, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya mengamati dan merenung setiap tindakan. Pemikiran ini mendorong individu untuk belajar daripada pengalaman dan terus berusaha menjadi versi terbaik daripada diri mereka.
Terdapat beberapa gaya bahasa yang menarik dalam sajak ini antaranya repetisi, iaitu pengulangan frasa “hitam dan putih” pada permulaan setiap rangkap. Penulis juga menggunakan aliterasi seperti dalam frasa “selang-seli dan mengelilingi” menghasilkan irama yang menarik dan memberikan kesan estetika yang kuat. Manakala asosiasi, iaitu pemilihan kata yang berpasangan seperti “hitam dan putih”, “melengkapi” dan “sejiwa sehati” juga turut mampu mencipta gambaran visual yang kuat dan menyampaikan makna yang mendalam tentang keseimbangan dan keselarasan. Penggunaan struktur yang selari (paralelisme) dalam ayat seperti “setiap langkah diperhati, setiap inci diteliti, tiap kesalahan diperbaiki”, memberi kesan yang teratur dan menekankan pentingnya perhatian terhadap perincian. Sudah tentunya metafora melalui frasa “kekuatan diri” dan “pengorbanan sebagai kunci” menggambarkan makna abstrak melalui konsep-konsep yang lebih konkrit, memudahkan pemahaman mesej sajak. Walaupun tidak terlalu jelas, adanya unsur personifikasi dalam menggambarkan hitam dan putih “saling menemani dan melengkapi” memberi nyawa kepada warna-warna tersebut sebagai simbol manusia yang saling menyokong.
Kekuatan sajak “Hitam dan Putih” ialah simbolisme yang kuat dan relevan dengan pelbagai pengalaman manusia. Penggunaan gaya bahasa yang baik juga menambah elemen estetika dan meningkatkan keindahan sajak ini. Selain itu, sajak ini memberi pesanan yang positif di samping gambaran visual yang jelas dan mudah difahami menjadikan ia mudah dihayati dan diingati oleh pembaca. keterbatasan pengembangan temanya yang terlalu umum tidak berupaya membawa perspektif yang lebih mendalam atau unik. Sajak ini juga menggunakan konsep-konsep yang agak abstrak dan universal tanpa memberikan contoh atau situasi spesifik yang mungkin membuatkan pembaca sukar untuk terhubung secara emosional dengan sajak.
Sajak “Amarah yang Terpendam” karya Yong Siew Chuo pula menggambarkan perasaan benci dan amarah yang telah lama terpendam dalam diri seseorang. Amarah ini diibaratkan seperti api yang semakin membara, merosakkan dan membakar segala yang ada. Perasaan dendam dan kegelisahan jiwa digambarkan dengan jelas, menunjukkan betapa mendalamnya kesakitan emosional yang dialami. Perasaan yang disimpan terlalu lama membawa kepada kegelisahan, kesakitan emosi, dan kehilangan rasa cinta dan kegembiraan dalam hidup. Sajak ini mengingatkan tentang pentingnya meluahkan dan melepaskan perasaan negatif untuk mencapai kesejahteraan emosional dan memperbaiki hubungan sesama manusia.
Pemikiran penting dalam sajak ini termasuk bahaya kebencian dan amarah, kesan emosional, kehilangan cinta, kepentingan meluahkan perasaan dan keseimbangan emosi. Sajak ini memberikan pemikiran tentang kesan buruk perasaan negatif yang tidak diuruskan dengan bijak.
Sajak “Amarah yang Terpendam” memanfaatkan beberapa gaya bahasa yang menarik seperti penggunaan metafora melalui kata-kata “amarahku yang membara akan menjadi api” dan “ibarat kopi tanpa gula” memberi gambaran visual dan menekankan perasaan marah yang memusnahkan. Dari sudut personifikasi pula amarah dan kebencian digambarkan seperti entiti hidup yang “menyala” dan “membakar”, memberi kesan bahawa perasaan ini mempunyai kuasa yang kuat dan mempengaruhi keadaan emosi seseorang. Repetisi seperti “genggaman” dan “cengkaman” menambah intensiti dan tekanan pada perasaan yang terpendam dalam sajak. Penulis juga menggunakan konotasi negatif seperti “kebencian”, “dendam”’ “gundah”’ dan “menyesak” membantu untuk menyampaikan suasana yang penuh dengan ketegangan dan tekanan. Manakala frasa “kopi tanpa gula” mencipta kontras yang kuat antara perasaan yang pahit dengan hilangnya rasa manis atau kegembiraan dalam hidup. Terdapat juga penggunaan aliterasi pada permulaan kata seperti “genggaman dan cengkaman” mencipta irama yang menarik dan menambahkan keindahan pada sajak.
Penggunaan metafora yang kuat memberikan gambaran visual tentang perasaan yang mendalam dan merosakkan. Sajak ini juga berjaya menangkap dan menyampaikan perasaan amarah dan kebencian yang terpendam, mencipta kesan emosional yang kuat kepada pembaca. Irama dan alunan yang terdapat dalam sajak ini juga mampu mencipta sesuatu yang menarik dan menghidupkan sajak ini, menjadikannya mudah diingat dan dinikmati. Boleh dikatakan gaya bahasa sajak ini merupakan kekuatan utamanya yang membantu pembaca memahami luahan penulis.
Untuk karya yang akan datang, penulis disarankan untuk tidak terkongkong dalam tema penulisan yang terlalu umum. Sajak ini juga tidak memberikan konteks spesifik tentang mengapa perasaan kebencian itu wujud, yang mungkin membuatkan pembaca sukar untuk terhubung secara mendalam dengan sajak. Bahasa dalam sajak ini agak sederhana sifatnya, malah pengulangan kata yang berlebihan mungkin dilihat oleh sesetengah pembaca yang boleh mengurangkan kesan sajak. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, “Sajak Amarah yang Terpendam” adalah karya yang kuat dalam menyampaikan perasaan negatif yang mendalam, tetapi mungkin boleh diperkaya lagi dengan konteks yang lebih spesifik dan bahasa yang lebih kompleks.
ADVERTISEMENT
热门新闻
百格视频
ADVERTISEMENT